Dr. Sharif Abu Shammalah
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan
al-Quds Malaysia
“Yahudisasi” merupakan istilah yang merujuk kepada pelaksanaan
dan polisi-polisi yang dikenakan ke atas kota al-Aqsa oleh rejim Zionis bersama
dengan persatuan “Ma’bad”. Dasar ini bertujuan untuk menghapuskan identiti
agama Islam, ketamadunan, demografi penduduk Muslim dan Arab serta Masjid
al-Aqsa. Matlamat akhirnya ialah mereka ingin mengubah identiti kota al-Aqsa
ini menjadi hak milik Yahudi sepenuhnya. Justeru, bagi merealisasikan dasar
ini, mereka telah memfokuskannya kepada tiga perkara, iaitu:
Pertama: manusia; iaitu pengusiran penduduk melalui penderaan
fizikal dan mental, serta dari tempat-tempat umum dan signifikan di al-Aqsa.
Kedua: tanah; iaitu segala yang ada di dalam kawasan dengan
cara memusnahkan kawasan kediaman atau menguasainya lalu melarang daripada proses
membaikpulihnya. Malahan, mereka juga sanggup menawan semua tanah dan
perkuburan, menukar nama-nama jalan dan mercu tanda, menghancurkan al-Aqsa dan
kawasan sekitarnya dengan membina
terowong bawah tanah serta lain-lain lagi.
Ketiga: tempat-tempat suci; iaitu Masjid al-Aqsa yang
merupakan fokus utama dalam gerakan yahudisasi.
Yahudisasi di al-Quds dan Masjid al-Aqsa sudah dirancang lama
oleh gerakan Zionis. Ini boleh dirujuk melalui ucapan Theodor Herzl (Presiden
Pertubuhan Zionis Sedunia); “Sekiranya kita berjaya menakluk al-Quds pada satu
hari nanti, dan ketika itu aku masih hidup dan berupaya untuk melakukan apa-apa
sahaja, aku akan hapuskan segala benda suci yang tidak berkaitan dengan yahudi
dan akan membakar segala peninggalan lama yang telah berabad lalu.”
Bagi menyoroti gerakan yahudisasi di Masjid al-Aqsa
al-Mubarak, ia boleh diperhatikan secara meluas melalui tindakan dan polisi
yang dikenakan oleh penjajah. Perlu diingat bahawa matlamat terakhir mereka
adalah untuk memusnahkan Masjid al-Aqsa lalu digantikan dengan binaan kuil
yahudi(haikal). Walaupun pelaksanaan yahudisasi ini boleh dilihat secara jelas
semasa penjajahan di al-Quds pada tahun 1967 M, akan tetapi banyak percubaan
yang telah dilakukan pada tahun sebelumnya, terutamanya sewaktu mereka
memulakan projek Zionis di tanah Palestin di bawah naungan jajahan Inggeris.
Antara contoh pelaksanaan yahudisasi ialah:
1. Penguasaan ke atas sebahagian Masjid al-Aqsa
Zionis telah melakukan percubaan
untuk menguasai tembok Buraq (tembok barat Masjid al-Aqsa al-Mubarak) pada
tahun 1929 M. Rentetan itu, berlakunya revolusi Buraq bagi menghalang percubaan
tersebut. Namun begitu, Zionis telah berjaya menguasainya pada tahun 1967 M
selepas memusnahkan kejiranan al-Magharibah yang terletak bersebelahan dengan
tembok tersebut, (maklumat tambahan pada bab tembok Buraq dan yahudisasinya).
Sejak penjajahan ke atas bandar
al-Quds, rejim Israel telah menguasai sebahagian daripada masjid dengan
merampas kunci-kunci bab al-Magharibah (yang terletak di tembok barat Masjid
al-Aqsa) dan menggunakannya untuk membenarkan golongan pelampau dan polis Israel
memasuki masjid untuk memusnahkannya.
Selain itu, antara kawasan
penting yang dikuasai oleh penjajah adalah “khalwah Junbulathiyah” yang
terletak di dataran kubah as-Sakhrah. Mereka telah menjadikannya sebagai balai
polis di dalam Masjid al-Aqsa. Oleh sebab itu, terjadinya banyak penentangan
daripada para murabithun di dataran al-Aqsa bagi melindunginya.
Para penjajah juga telah menawan
kesemua pintu-pintu Masjid al-Aqsa al-Mubarak. Mereka telah mengawal laluan
masuk dengan melarang para pemuda dan pemudi Palestin serta murabithun dari
memasukinya. Pada tahun 2017 M, rejim Israel telah melakukan cubaan untuk memasang pintu elektronik di
pintu-pintu masuk al-Aqsa. Namun, rakyat Palestin telah membantahnya secara keras
sehingga mereka dihalau selepas dua minggu melakukan tunjuk perasaan yang
dikenali sebagai “Hibbah Bab al-Asbat”.
Kini, penjajah sedang berusaha
untuk merampas bab ar-Rahmah dan seluruh bahagian timur Masjid al-Aqsa yang
akan membentuk lima buah ruang. Mereka juga sedang merancang untuk membina
gereja yahudi di al-Aqsa. (untuk maklumat lanjut, boleh rujuk pada tajuk:
1) Rancangan
pembahagian masa dan tempat (2013 M) (Baca Lagi).
2) Pertempuran
untuk melindungi al-Aqsa daripada pembahagian masa dan tempat (Baca Lagi).
2. Terowong dan penggalian
Sejak tahun 1967 M, rejim Israel telah melaksanakan pelbagai
aktiviti penggalian dan terowong di sekitar Masjid al-Aqsa dan di kawasan
bawahnya. Menurut statistik terkini, terdapat lebih 64 kerja-kerja penggalian yang
telah dijalankan.
Zionis mendakwa bahawa penggalian tersebut adalah untuk
mencari kuil yang pernah dikatakan (kuil Sulaiman). Kesan daripada tindakan
tersebut, ia telah menjejaskan asas binaan Masjid al-Aqsa dan menyebabkan
keretakan pada dindingnya serta meruntuhkan rumah-rumah dan kemudahan-kemudahan
awam yang lain. Selain itu, aktiviti tersebut juga telah mengakibatkan
kerosakan pada seni bina Islam yang menjadi bukti kepada sejarah Masjid al-Aqsa
sebagai kota Islam.
Lebih membahayakan lagi, bilamana aktiviti tersebut dilakukan
mengikut kaedah mereka tanpa mempedulikan kaedah saintifik. Hal ini kerana,
mereka ingin membuktikan bahawa kuil yahudi itu wujud di kawasan Masjid
al-Aqsa. Pakar arkaelogi Yahudi yang menghormati kaedah saintifik mengatakan
bahawa walaupun mereka sudah lama melakukan kerja penggalian, mereka tidak
pernah sesekali menjumpai kesan tinggalan yahudi sama ada di al-Aqsa mahupun di
kawasan bawah tanah. Apa yang mereka jumpai adalah kesan-kesan peninggalan
Islam sejak pemerintahan Islam yang pertama atau peninggalan Byzantine yang
tiada kaitan langsung dengan Yahudi.
3. Pencerobohan
Tindakan menceroboh dan menyerang sentiasa dilakukan oleh puak
penjajah, pelampau Yahudi serta pelancong asing yang datang ke Masjid al-Aqsa.
Mereka ini mendapat perlindungan daripada tentera rejim Israel semasa melakukan
pencerobohan. Golongan pelampau dengan senang hatinya melakukan upacara ibadah
mereka di situ. Beberapa tahun kebelakangan ini, kegiatan ini semakin meningkat
sama ada dari segi kuantiti mahupun kualiti bilamana wujudnya juga penglibatan
daripada pemerintah dan ahli parlimen Zionis. Serangan ini bertujuan untuk mengekalkan
kewujudan orang Yahudi di Masjid al-Aqsa yang mereka telah anggap sebagai Jabal
Ma’bad. (Maklumat lengkap mengenai pencerobohan)
4. Memerangi kewujudan umat Islam di al-Aqsa
Rejim Israel berterusan menyerang umat Islam dengan mengenakan
sekatan mengikut umur yang dibenarkan masuk ke dalam Masjid al-Aqsa dan
menunaikan solat di dalamnya. Kebiasaannya, mereka telah mengharamkan kaum
lelaki yang berumur bawah dari 50 tahun dari memasuki ke dalam Masjid al-Aqsa.
Oleh yang demikian, ribuan daripada penduduk terpaksa menunaikan solat di atas
jalan bertar berikutan sekatan daripada penjajah Israel.
Bukan itu sahaja, bahkan sekatan tersebut turut meliputi ke
atas semua penduduk Palestin sama ada yang tinggal di Semenanjung Gaza, Tebing
Barat atau mereka yang diaspora dan pengecualian yang sedikit terhadap warga
emas.
Di samping itu, penjajah Israel juga turut memerangi kegiatan
halaqah ilmu, ribath dan syaddurihal(bersusah payah dalam
perjalanan), sebagaimana Menteri Pertahanan Israel mengeluarkan kenyataan
bahawa para murabithun dan murabithat di Masjid al-Aqsa terdiri daripada organisasi
pengganas. Bahkan, “Israel” juga melancarkan perang secara teratur ke atas
bas-bas yang membawa para jemaah dari dalam Palestin ke al-Aqsa (syaddurrihal)
dengan menghentikannya dan melarangnya dari sampai ke dalam Masjid al-Aqsa.
Antara projek berbahaya lain yang dilaksanakan oleh penjajah
Israel adalah pembahagian masa dan tempat di dalam Masjid al-Aqsa. Mereka ingin
memastikan orang Yahudi mempunyai tempat dan waktu untuk melakukan upacara
ibadah mereka tanpa ada gangguan daripada umat Islam.
5. Penukaran nama al-Aqsa dan mercu tandanya
Sekitar 7000 buah nama telah ditukar di bandar al-Quds. Salah
satunya adalah Masjid al-Aqsa al-Mubarak. Penjajah Israel berkeras untuk
menggunakan nama-nama yang ada di dalam kitab mereka. Hal ini kerana, mereka
ingin mewujudkan hubungan antara mereka dan al-Aqsa. Lebih berbahaya lagi adalah
apabila mereka menamakan Masjid al-Aqsa dengan nama Temple Mount (Jabal Ma’bad)
serta menamakan pintu-pintu masjid mengikut nama di dalam kitab mereka seperti bab
Thulasi ditukar dengan nama bab Khaldeh. Bagi mengiktiraf nama-nama tersebut,
mereka telah menggunakan pemandu pelancong, mengumumkan keputusan rasmi serta
meletakkannya di dalam peta dan papan tanda di pintu masjid.
6. Cubaan untuk membakar dan meletupkan Masjid al-Aqsa
Pada tahun 1969 M, salah seorang puak pelampau telah
menyalakan api di atas mimbar Salahuddin, dinding serta perabot masjid. Namun
begitu, kes ini telah dihalang prosesnya oleh pihak berkuasa Israel. Anehnya,
mereka kemudiannya membebaskan penjenayah tersebut dengan alasan bahawa dia
“gila” dan dia tidak bertanggungjawab ke atas jenayah tersebut. Jenayah cubaan
meletupkan masjid ini turut berulang pada tahun-tahun berikutnya seperti pada
tahun 2015 M, di mana seorang yahudi Amerika telah diarahkan oleh organisasi
pelampau Zionis untuk membakar masjid. Namun begitu, operasi tersebut gagal
apabila ia sempat dikesan sebelum dimulakan operasinya. (Untuk maklumat
selanjutnya, boleh tekan di sini)
7. Melarang kerja-kerja pembaikpulihan di dalam Masjid al-Aqsa
Apabila penjajah menghalang daripada kerja-kerja
pembaikpulihan, maka Masjid al-Aqsa tidak dapat dipelihara, diselenggara dan
dimanfaatkan kemudahannya. Para petugas di masjid hanya dapat melakukan
penyelenggaran yang ringan sahaja dan itupun tetap tidak terlepas daripada
penangkapan dan serangan. Mereka menyatakan bahawa terdapat 42 buah projek
penyelenggaraan al-Aqsa yang tergendala disebabkan larangan dan sekatan
daripada penjajah.
8. Pengepungan Masjid al-Aqsa
Penjajah Israel telah membina beberapa buah gereja di sekitar
tembok al-Aqsa. Antaranya, gereja yang dibina di sekolah at-Tankaziyah (bercantum
dengan tembok al-Aqsa) dan di bahagian bawahnya iaitu gereja “Wilson Bridge”.
Persatuan-persatuan Yahudi sangat aktif mengajak orang-orang Yahudi dari serata
dunia untuk datang melawat gereja ini dan mewujudkan hubungan dengan
tempat-tempat suci. Selain itu, kerajaan Israel juga telah membinanya dengan
menamakan “taman alkitabiah” (al-hadaiq at-tauratiyah) yang terletak di atas
monumen-monumen peninggalan Islam di sekitar al-Aqsa.
Bilangan gereja yang mengelilingi Masjid al-Aqsa dan di dalam
kota lama (keluasaannya kurang dan 1 kilometer persegi) adalah sebanyak 102 buah
gereja. Persatuan-persatuan yahudi dan kerajaan Zionis berlumba-lumba merancang
untuk memusnahkan Masjid al-Aqsa sebagai persiapan untuk membina rumah ibadah
mereka. Banyak patung-patung yang telah dibina untuk rumah ibadah yahudi di
kawasan Masjid al-Aqsa.
Dasar-dasar yahudisasi yang diterangkan di atas hanyalah
sebahagian contoh yang ringkas dan jelas daripada beberapa masalah lain lagi
yang berlaku di Masjid al-Aqsa. Realitinya amat sukar dan perit serta
pelaksanaan yahudisasi adalah jauh lebih berbahaya serta dipenuhi dengan
perincian yang menyakitkan dan berbahaya.