Semenjak awal kewujudannya,
Masjid al-Aqsa sangat aktif dengan segala bentuk gerakan keilmuan seperti
pengajian al-Quran, Hadis dan Fiqh Islam. Demi memastikan kesinambungannya,
maka wujudnya bangunan madrasah iaitu sekolah yang merupakan lambang kepada institusi
keilmuan. Pelbagai peringkat yang telah menunjukkan kepada pertumbuhan dan
perkembangan sekolah-sekolah di sini. Ini menunjukkan bahawa status Masjid
al-Aqsa dan kedudukannya sangat memberikan signifikan dalam penyebaran dan
pemeliharaan ilmu-ilmu agama Islam.
Pusat-pusat pengajian di al-Aqsa
banyak dibina semasa zaman pemerintahan al-Ayyubi dan semakin berkembang ketika
era pemerintahan Mamluk. Manakala pada zaman Uthmaniyyah pula, mereka
memastikan dan memelihara program-program ilmiah ini terus berjalan.
Sehingga kini, ia masih berfungsi
sebagai tempat penyebaran ilmu di kawasan al-Aqsa. Ini menunjukkan bahawa Islam
sangat mengambil berat terhadap al-Aqsa dan memahami peranan dan kedudukannya
sebagai tempat keilmuan. Sebahagian besar daripada sekolah-sekolah ini masih
berfungsi sebagai institusi pendidikan, manakala sebahagian yang lain telah
dijadikan sebagai pejabat-pejabat atau kegunaan masjid.
Madrasah Riyadh al-Aqsa
al-Islamiyyah
Pusat pengajian ini terletak di
ruwaq (lorong) utara, iaitu di antara Pintu Gerbang Hittah dan Pintu Gerbang
al-‘Atam. Gabenor Ilmuddin Sanjir Addawadar telah mewakafkannya pada tahun 695
H bersamaan 1295 M dan nama sekolah ini dinamakan bersempena dengan nama beliau
sebelum ditukarkan kepada nama, Sekolah Islam Riyadh al-Aqsa pada tahun 1980-an
bersamaan kurun ke-20.
Thanawiyah al-Aqsa as-Syar’iyyah
Terletak di ruwaq (lorong) utara
Masjid al-Aqsa iaitu di Pintu Gerbang Asbat dan Menara Azan Pintu Gerbang
Asbat. Dinamakan dengan nama tersebut kerana sekolah ini dibina sekitar tahun
awal 1980-an sebagai Sekolah Menengah Agama. Kini, sekolah ini berperanan
sebagai sekolah rendah dan menengah yang menerapkan pembelajaran ilmu-ilmu
Syariah.
Al-Madrasah al-Ghadiriyyah
Terletak di utara al-Aqsa iaitu
di antara Pintu Gerbang Asbat dan Pintu Gerbang Hittah. Diasasaskan oleh
Gabenor Nasiruddin bin Dalghar pada zaman Sultan Mamluk Barsbay, iaitu pada
tahun 836 H bersamaan 1432 M. Kemudiannya, diubahsuai oleh pengurusan Jabatan
Wakaf Islam. Walau bagaimanapun, pihak penjajah Israel telah menghalang
daripada meletakkan bumbung sehingga ke hari ini.
Al-Madrasah al-Basitiyyah
Sekolah ini terletak di bahagian
atas Sekolah Islam Riyadh al-Aqsa (seperti yang dinyatakan sebelum ini) iaitu
di utara al-Aqsa. Diwakafkan oleh al-Qadhi Zainuddin Abdul Basit bin Khalil
ad-Dimasyq pada tahun 835 H bersamaan 1431 M. Kini, sekolah tersebut berfungsi
sebagai pejabat sekolah al-Bakriyah yang berada di luar kawasan al-Aqsa.
Dahulunya, sangat dikenali di
seluruh dunia Islam dengan kegiatan ilmu sehingga mampu melahirkan ramai ilmuan
dalam pelbagai bidang, termasuklah, para penghafal al-Quran, periwayat Hadis,
para doktor, pengkaji ilmu astronomi dan matematik.
Al-Madrasah al-Aminiyyah
Sekolah ini terletak di ruwaq
(lorong) utara Masjid al-Aqsa, iaitu di atas Pintu Gerbang al-‘Atam. Ia dibina
dan diwakafkan oleh Aminuddin bin Abdullah pada tahun 730 H bersamaan 1329 M.
Sekolah ini dikenali dengan nama beliau dan proses pembaikannya dilakukan pada
zaman Uthmaniyyah. Terdiri daripada empat buah tingkat dan mempunyai pintu
serta bilik-bilik yang terletak di atas ruwaq (lorong) utara Masjid al-Aqsa .
Sekolah ini pernah dikenali dengan Dar Imam (Rumah Imam) kerana terdapat
seorang Syeikh Imam yang pernah mendiaminya suatu ketika dahulu.
Al-Madrasah al-Farisiyyah
Namanya diambil berikutan dengan
nama Gabenor Faris al-Bakki yang telah mewakafkannya pada tahun 755 H bersamaan
1353 M. Bangunannya bersambung dengan sekolah al-Aminiyah. Ruwaq (lorong) sekolah
ini terletak di atas ruwaq (lorong) utara Masjid al-Aqsa. Manakala kedudukan
ruang utamanya adalah menghadap ke arah Masjid al-Aqsa. Ia boleh dimasuki
dengan menaiki tangga yang bersambung di dalam Masjid al-Aqsa. Di bahagian
pintu masuknya telah dihiasi dengan lengkungan atap yang bersilang dan terdapat
dua masthabah berbatu di sisinya. Sekolah ini juga mempunyai ruang terbuka
berbentuk segi empat dan sebuah tangga yang menghubungkan ke tingkat satu
sekolah al-Aminiyah yang berada bersebelahan dengannya. Kini, sekolah ini
digunakan sebagai tempat kediaman.
Al-Madrasah al-Malakiyyah
Sekolah ini dibina pada tahun 741
H bersamaan 1340 M, iaitu pada zaman kesultanan Mamluk, an-Nasir Muhammad
Qalawun di bahagian ruwaq (lorong) utara. Terdiri daripada dua buah tingkat dan
kedua-duanya mempunyai pintu masuk yang cantik yang mana binaannya berkonsepkan
seni bina kerajaan Mamluk. Selain itu, dihiasi juga dengan batuan putih dan
merah. Kini, tempat tersebut telah dijadikan sebagai kawasan kediaman.
Al-Madrasah al-As’ardiyyah
Sekolah ini telah diwakafkan oleh
Majduddin al-As’ardi pada tahun 770 H bersamaan 1368 M dan dinamakan sekolah
ini bersempena dengan nama beliau. Untuk masuk ke sini, perlulah menaiki tangga
yang terdapat di dalam Masjid al-Aqsa al-Mubarak yang mana pintu masuknya
terletak di ruwaq (lorong) sebelah utara. Bangunannya mempunyai dua buah
tingkat dan di tengah-tengahnya terdapat ruangan terbuka di mana dikelilingi
dengan bilik-bilik dan khalawi (bilik yang digunakan para sufi untuk beruzlah).
Di bahagian bumbung sekolah ini, terdapat tiga buah kubah; iaitu di bahagian
tengah bangunan, timur dan barat. Di dalamnya juga terdapat masjid yang cantik
yang menghadap ke arah Masjid al-Aqsa. Kini, dijadikannya sebagai tempat
kediaman.
Al-Madrasah al-Manjakiyyah
Terletak di tembok barat Masjid al-Aqsa dan berada di sebelah
utara dari Pintu Gerbang an-Nazir.
Gabenor Saifuddin Manjak telah membinanya pada tahun 763 H bersamaan
1361 M. Terdiri daripada bangunan dua buah tingkat yang dilengkapi dengan bilik
dan ruwaq (lorong) yang banyak. Proses pembelajaran telah berjalan seperti
biasa sehinggalah ke zaman pemerintahan Uthmaniyyah, di mana mereka
menukarkannya kepada tempat kediaman pada awal kurun ke-20. Kemudian,
dijadikannya pula sebagai tempat berehat bagi para pengunjung Kota al-Quds.
Sepanjang tempoh penjajahan Inggeris (1918M-1948M), sekolah ini berfungsi
sebagai sekolah rendah sehinggalah Majlis Tertinggi Islam memutuskan untuk
membaikpulih binaannya dan menjadikannya sebagai pusat pentadbiran. Kini,
dijadikannya sebagai ibu pejabat Wakaf Islam di al-Quds.
Al-Madrasah al-Uthmaniyyah
Sekolah ini terletak di tembok
barat Masjid al-Aqsa iaitu di selatan Pintu Gerbang Mathharah. Bangunan sekolah
ini bersambung dengan Sekolah al-Ashrafiyyah di bahagian selatan. Asfahan Shah
Khatun binti Mahmud al-Uthmaniyyah telah mewakafkannya pada tahun 840 H
bersamaan 1437 M iaitu pada zaman Sultan al-Mamluki al-Asyraf Barsbay. Ruangan
solat yang terdapat di sini kedudukannya sejajar dengan dataran al-Aqsa. Ketika
penawanan Zionis Yahudi, mereka telah menutup tingkap-tingkap sekolah ini
dengan batu-bata. Sekarang, dijadikannya sebagai tempat tinggal bagi keluarga
Muslim.
Al-Madrasah al-Ashrafiyah
Dikenali juga dengan nama Sekolah
as-Sultaniyah. Terletak di barat al-Aqsa
dan dibina oleh al-Amir Hasan az-Zhohiri pada tahun 875 H bersamaan 1470 M.
Walau bagaimanapun, binaannya tidak memuaskan hati Sultan Qoitibai apabila
Baginda melihatnya sendiri ketika menziarahi al-Quds. Binaan sekolah ini
kemudiannya diruntuhkan dan dibina semula pada tahun 885 H bersamaan 1480 M.
Sebahagian daripada sekolah ini terletak di dalam kawasan Masjid al-Aqsa,
manakala sebahagian lagi di luar sempadan kawasannya. Ia terdiri daripada dua
buah tingkat. Namun, sebahagian besar ruang di tingkat atas sudah hampir
musnah. Selain itu, terdapat juga pintu masuk yang cantik yang dibina dengan
batu-bata berwarna merah dan putih. Di dalamnya pula terdapat masjid yang
pernah digunakan oleh pengikut Mazhab Hanbali pada suatu masa dahulu serta
terdapat juga dua buah makam yang dipercayai salah satunya adalah makam Syeikh
al-Khalili. Sebahagian besar kawasan sekolah ini telah dijadikan sebagai
sekolah menengah bagi pelajar perempuan. Manakala, sebahagian yang lain pula
digunakan sebagai tempat simpanan manuskrip lama Masjid al-Aqsa serta ada
sebahagian lagi yang dijadikan sebagai tempat tinggal.
Sekolah ini digelar sebagai
“Permata Ketiga dalam Masjid al-Aqsa” selepas Kubah as-Sakhrah dan Masjid
al-Qibli disebabkan kecantikannya yang memukau.
Al-Madrasah al-Tankaziyyah
Dibina di sebelah barat Masjid
al-Aqsa. Sebahagian sekolah ini terletak di luar kawasan al-Aqsa dan sebahagian
yang lain di ruwaq (lorong) barat al-Aqsa. Raja Tankaz an-Nashiri telah
membinanya pada tahun 729 H bersamaan 1328 M, lalu dinamakan sekolah ini
bersempena dengan nama beliau.
Pernah digunakan sebagai tempat
pengajian hadis, pusat hadis serta pejabat kehakiman pada zaman Sultan
al-Mamluki Qaitabai. Manakala pada zaman Uthmaniyyah, dijadikannya sebagai
mahkamah. Kemudian, pada zaman penjajahan Inggeris (1918M-1948M), ia telah
digunakan sebagai Pusat Persidangan Islam dan pusat ilmu al-Aqsa. Pada tahun
1969 M, Israel telah merampasnya dan menjadikannya sebagai tempat kawalan
sempadan bagi mengawasi Masjid al-Aqsa dan para jemaah. Selain itu, Zionis juga
telah menggali lubang di bawahnya untuk dijadikan terowong yang menghubungkan
dengan Tembok Buraq.
Al-Madrasah al-Jawliyyah
(al-Umareyah)
Sekolah ini terletak di barat
laut Masjid al-Aqsa al-Mubarak dan telah diwakafkan dalam tempoh antara 612 H
hingga 720 H dan orang yang mewaqafnya adalah al-Amir Alimuddin Sinjar bin
Abdullah al-Jauli iaitu Naib Pengerusi al-Quds dan Nazir bagi dua kota suci
(Haramain as-Syarifain) pada zaman pemerintahan Raja Nasir Muhammad bin
Qalawun. Sesi pembelajaran di sekolah
ini berjalan seperti biasa sehinggalah kerajaan Uthmaniyyah menukarnya sebagai
dewan Parlimen pada kurun ke-9 H. Kemudian, dijadikannya pula sebagai rumah
kediaman bagi ahli Parlimen al-Quds dan selepas itu, diubah menjadi rumah untuk
kerajaan. Terdiri daripada dua buah tingkat yang menghala ke sebuah lapangan
terbuka dan di dalamnya terdapat banyak bilik. Kini, sebahagian daripada
bangunan ini telah dijadikan sebagai Sekolah Umareyah.
Al-Madrasah al-Khatuniyyah
Sekolah ini terletak di ruwaq
(lorong) barat Masjid al-Aqsa. Dibina pada sekitar kurun ke- 7 H bersamaan 13 M dan telah diwakafkan
oleh Permaisuri Aghul Khatun al-Baghdadiyah. Sekolah ini memberi fokus kepada
pengajaran Fiqh dan al-Quran. Tingkap di bahagian timur sekolah ini menghadap
ke arah halaman Masjid al-Aqsa. Di dalamnya, terdapat makam orang yang mewakafkannya
iaitu Aghul Khatun. Manakala di sebelahnya pula terdapat makam para pembesar
seperti; Muhammad Ali al-Hindiy, seorang
ahli politik India yang telah bergelut demi memperjuangkan Palestin; Musa
Kazhim al-Husainiy, Ketua Jawatankuasa Eksekutif Arab bagi Persidangan Palestin
Ketiga dan Gabenor al-Quds pada zaman Uthmaniyyah; Pahlawan al-Qastal, Abdul
Qadir Husainiy dan anaknya, Faisal Husseini, seorang perwakilan Palestin di
al-Quds (Orient House); Sharif Abdul Hamid bin Aun; dan Abdul Hamid Shoman, pengasas Bank Arab.
Al-Madrasah al-Arghuniyyah
Sekolah ini telah dibina pada
tahun 758 H bersamaan 1356 M oleh al-Amir Argun al-Kamili yang telah meninggal
dunia sebelum selesai pembinaannya. Kemudian, kerja-kerja tersebut telah
disambung oleh Ruknuddin Bebres. Sekolah ini terletak di antara Pintu Gerbang
al-Qathanin dan Pintu Gerbang al-Hadid di bahagian barat Masjid al-Aqsa.
Bangunan ini terdiri daripada dua tingkat yang boleh dimasuki melalui tempat
masuknya yang dibina di tempat yang tinggi. Ia dihiasi dengan batu-batuan putih
dan merah. Tempat masuk itu terletak di bahagian selatan laluan Pintu Gerbang
al-Hadid. Di samping itu, terdapat juga ukiran batu di atas pintu masuk ini
yang menunjukkan nama orang yang membinanya dan tarikh binaannya. Di atasnya
pula, dibina dengan batu-bata yang saling bersilang satu sama lain. Kini,
sekolah ini digunakan sebagai tempat kediaman tetapi telah dipindahkan
disebabkan berlakunya retakan di bahagian dinding yang berpunca daripada
penggalian lubang bawah tanah yang dilakukan oleh pihak penjajah Israel.
Al-Madrasah al-Khatniyyah
Sekolah ini telah dibina semasa pemerintahan
Salahuddin al-Ayyubi pada sekitar tahun 587 H bersamaan 1191 M. Dinamakan
dengan al-Khantiyah adalah diambil daripada nama Syeikh al-Khatniy yang telah
mengajar subjek-subjek agama di sekolah ini. Terletak bersebelahan pagar Masjid
al-Qibli iaitu di bahagian selatan dan di belakang Mimbar Salahuddin al-Ayyubi.
Semasa pengubahsuaian dijalankan, terdapat beberapa perubahan dan tambahan
beberapa buah bilik dan bilik air sehingga tidak ada ciri-ciri binaan asal yang
masih kekal kecuali beberapa lengkungan dan tingkap. Proses pengubahsuaiannya
telah selesai pada 1998 M. Kini, ia dijadikan sebagai perpustakaan dan sekolah
tahfiz al-Quran.