Sabil merupakan salah
satu bekalan air yang terdapat di dalam Masjid al-Aqsa. Ia berfungsi sebagai
tempat untuk mendapatkan air minuman serta mengambil wuduk. Terdapat kira-kira
14 buah sabil di dalam al-Aqsa dan ini membuktikan bahawa umat Islam sangat
menitikberatkan keperluan bekalan air untuk memudahkan para jemaah yang ingin
menunaikan solat serta para pelajar yang berada di dalam kawasan masjid.
Melalui kajian yang dilakukan, kesemua sabil ini telah dibina sepanjang tempoh
zaman pemerintahan al-Ayyubi, Mamluk dan Uthmaniyyah.
Sabil al-Ka’s
Merupakan sabil yang
paling dikenali di al-Aqsa. Terletak di bahagian selatan perkarangan Masjid
al-Aqsa iaitu di antara masthabah tempat wuduk dan masthabah al-Ka’s.
Pembinaannya telah dilakukan oleh Sultan al-Ayyubi Abu Bakar bin Ayub, iaitu
salah seorang raja al-Ayyubi pada tahun 589 H bersamaan 1193 M.
Sabil Sya’lan
Terletak di bahagian
barat perkarangan Masjid al-Aqsa iaitu di sebelah platform Kubah as-Sakhrah. Di sebelahnya terdapat masthabah sabil Sya’lan.
Pembinaannya telah dilakukan oleh Raja al-Ayyubi al-Mu’zam Isa pada tahun 613 H
bersamaan 1216 M.
Sabil al-Basiri
Terletak di bahagian
barat perkarangan Masjid Al-Aqsa dan di timur laut Pintu Gerbang an-Nazir.
Namanya juga dikenali sebagai Sabil al-Habs. Pembinaannya telah dilakukan pada
zaman pemerintahan Mamluk Barsbay pada tahun 839 H bersamaan 1436 M.
Sabil Qaitabai
Terletak di bahagian
barat perkarangan Masjid al-Aqsa. Binaannya yang tinggi dan cantik serta
memiliki unsur seni ukiran binaan dan dekorasi yang memukau. Sultan Mamluk
Qaitabai telah membinanya pada tahun 865 H bersamaan 1461 M, dan pernah
diubahsuai pada zaman Uthmaniyyah pada tahun 1330 H bersamaan 1882 M.
Sabil Qassim Pasha
Terletak di barat
perkarangan Masjid al-Aqsa iaitu berhadapan dengan Sekolah al-Asyrafiyyah. Dikenali
juga sebagai sabil Bab al-Mahkamah kerana kedudukannya yang berhampiran dengan
bangunan sekolah at-Tankaziyyah. Gabenor al-Quds iaitu Qassim Pasha telah
membinanya pada zaman pemerintahan Uthmaniyyah Sulaiman al-Qanuni pada tahun
933 H bersamaan 1527 M.
Sabil Sulaiman
Terletak di bahagian
utara perkarangan Masjid al-Aqsa. Sultan Uthmaniyyah Sulaiman al-Qanuni telah
membinanya pada tahun 943 H bersamaan 1536 M.
Sabil Syeikh Badir
Terletak di bahagian
barat laut perkarangan Masjid al-Aqsa dan bertentangan Pintu Gerbang an-Nazir.
Di sebelahnya terdapat masthabah Syeikh Badir dan nama sabil ini dinamakan
bersempena dengan nama beliau. Pembinaannya dilakukan pada zaman pemerintahan
Uthmaniyyah Mahmud al-Awwal pada tahun 1153 H bersamaan 1740 M.
Sabil Bab al-Magharibah
Terletak di bahagian
selatan perkarangan Masjid al-Aqsa, iaitu di bahagian timur Masjid al-Buraq.
Kedudukannya di antara masthabah Masjid al-Buraq dan masthabah Masjid
az-Zawiyyah al-Fakhriyyah serta berhadapan dengan Pintu Gerbang al-Magharibah.
Ia telah dibina pada zaman Uthmaniyyah. Kini, ia tidak digunakan lagi sebagai
bekalan air kepada penduduk tetapi digunakan untuk mengairi tanaman pokok-pokok.
Sabil Hittah
Terletak di sebelah
kanan luar Pintu Gerbang Hittah iaitu di bahagian utara masthabah Pintu Gerbang
Hittah. Dibina pada zaman Uthmaniyyah. Baru-baru ini, sabil ini pernah
dibaikpulih oleh Yayasan al-Aqsa untuk Pembangunan Kota Suci. Akan tetapi ianya
telah dihapuskan selepas itu.
Birkah an-Narinj
Terletak di barat
perkarangan Masjid al-Aqsa dan kedudukannya di antara sabil Qassim Pasha dan
sabil Qaitabai. Ia dibina pada zaman pemerintahan Sultan Mamluk Qaitabai pada
tahun 887H bersamaan 1483M. Kerja-kerja pemulihan telah dilakukan oleh
Jawatankuasa Pembangunan Tempat-Tempat Suci.
Sihrij al-Malik Isa
Terletak di sebelah
barat perkarangan Masjid al-Aqsa iaitu di bawah masthabah Kubah as-Sakhrah.
Bangunan yang terdiri daripada tiga buah ruwaq (lorong) ini dibina oleh Sultan
al-Ayyubi Isa pada tahun 607 H bersamaan 1210 M. Oleh kerana itu, bangunan ini
dinamakan bersempena nama beliau. Digunakan untuk mengumpul air hujan yang
turun di atas Kubah as-Sakhra melalui saluran yang mengalir ke tangki. Ada
beberapa penambahan binaan yang telah dilakukan ketika zaman Uthmaniyyah.
Bangunan ini telah ditambah dan ditinggikan sehingga dapat dilihat dari halaman
Kubah as-Sakhrah. Hari ini ia telah dijadikan sebagai klinik perubatan.
Sabil Mimbar Burhanuddin
Ianya baru dibina
oleh Jawatankuasa Pembangunan Tempat-tempat Suci pada hujung tahun 1418 H
bersamaan 1998 M. Di dalamnya terdapat 24 buah kepala paip.
Sabil Zaitunah
Terletak di selatan
Masjid al-Aqsa dan berada di barat laut sabil al-Ka’s. Dibina oleh Jawatankuasa
Peninggalan Islam dan dinamakan sabil ini bersempena dengan pokok zaitun yang
ditanam di sekeliling tujuh buah kepala paip.
Sabil ar-Rahmah
Terletak di sebelah
barat pintu gerbang at-Taubah dan ar-Rahmah. Dibina pada tahun 1416 H bersamaan
1995 M serta mempunyai 12 buah kepala paip.