Masjid al-Aqsa yang telah dijajah
memiliki kedudukan yang sangat besar dalam Islam, selepas dua buah masjid suci
iaitu Masjid al-Haram dan Masjid an-Nabawi. Ia merupakan masjid suci yang
ketiga serta menjadi kiblat pertama bagi umat Islam. Masjid al-Aqsa telah
disebut beserta dengan tempat yang paling suci di muka bumi ini iaitu Masjid
al-Haram, di dalam al-Quran al-Karim melalui firman Allah SWT:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ الإسراء
Maksudnya: “Maha
Suci Allah SWT yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW) pada malam
hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang
Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda
(kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah SWT jualah yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”. (al-Isra’ 17:1) Ayat ini telah merakamkan perjalanan Nabi
Muhammad SAW dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj serta menegaskan akan kedudukan
Masjid al-Aqsa. Ia merupakan tempat menyambut kedatangan Rasulullah SAW dan
dari situ jugalah Baginda SAW naik ke langit (mikraj). Kemudian, Baginda SAW
kembali semula ke Masjid al-Aqsa untuk mengimamkan solat bersama para nabi
sebelum kembali ke Mekah.
Dalam ayat tersebut, Allah SWT telah
menyifatkan Masjid al-Aqsa serta kawasan di sekelilingnya yang penuh dengan
keberkatan. Ia merangkumi juga makna keteguhan dan ketetapan, serta makna
kelangsungan dan keiltizaman. Merujuk ulama’ tafsir, keberkatan adalah
ketetapan dan kebaikan daripada Tuhan ke
atas sesuatu, atau sesuatu kebaikan yang berterusan dan berkekalan. Ini
bermakna kebaikan daripada Tuhan akan sentiasa meliputi Masjid al-Aqsa serta
tanahnya yang suci. Kebaikan ini akan berterusan tanpa mengira waktu
sehinggalah pada hari kiamat serta dapat menghalang kejahatan serta kebatilan
daripada berakar di dalamnya.
Keberkatan Masjid al-Aqsa secara zahir dan
maknawi akan dapat dirasai bagi sesiapa yang menunaikan solat di dalamnya, atau
mengambil berat terhadapnya, atau bekerja untuknya. Akan tetapi, pada zaman
kini, tidak menjadi kewajipan untuk mengunjunginya kerana adanya sekatan
daripada Zionis Israel. Justeru, kepada jutaan rakyat Palestin yang tinggal
berdekatan dengannya atau umat Islam yang berada di serata dunia yang ingin
datang untuk mendirikan solat di dalamnya telah diberi keuzuran daripada
melakukannya. Mereka boleh merasai keberkatannya dengan cara bekerja untuk
membebaskannya atau membelanya atau berusaha untuk melindunginya.
Di dalam al-Quran juga telah dirakamkan
beberapa ayat mengenai keberkatan beberapa buah tempat yang mengelilingi Masjid
al-Aqsa iaitu di negeri-negeri Syam, dan juga mengkhususkannya kepada Masjid
al-Aqsa di Palestin dengan menyebutkannya sebagai pusat keberkatan dan
kebaikan.
Antaranya adalah:
Firman Allah SWT dalam kisah Nabi
Ibrahim A.S dan Lut A.S:
وَنَجَّيْنَاهُ وَلُوطًا إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا لِلْعَالَمِينَ) الأنبياء( 71:ش
Maksudnya:
“Dan kami menyelamatkannya (Ibrahim A.S) dan Lut A.S ke bumi yang kami berkati
dalamnya untuk sekalian alam.” (al-Anbiya’ 21:71).
Juga dalam firman
Allah SWT yang lain:
وَلِسُلَيْمَانَ الرِّيحَ عَاصِفَةً تَجْرِي بِأَمْرِهِ إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَكُنَّا بِكُلِّ شَيْءٍ عَالِمِينَ) الأنبياء (81: ش
Maksudnya:
“Dan bagi Sulaiman A.S angin kencang bertiup dengan perintahnya ke bumi yang
Kami berkati di dalamnya, dan Kami Maha Mengetahui atas segala sesuatu.”
(al-Anbiya’ 21:81).
Allah
SWT telah menyifatkannya sebagai tanah suci melalui ucapan Nabi Musa A.S dalam
firmanNya:
يَا قَوْمِ ادْخُلُوا
الأَرْضَ
المُقَدَّسَةَ
الَّتِي
كَتَبَ
اللّهُ
لَكُمْ
وَلاَ
تَرْتَدُّوا
عَلَى
أَدْبَارِكُمْ
فَتَنقَلِبُوا
خَاسِرِين )المائدة( 21:ش
Maksudnya: “Wahai kaumku! Masuklah ke tanah suci yang
ditentukan Allah SWT untuk kalian dan janganlah berpaling ke belakang kamu,
maka kamu akan menjadi orang yang rugi.” (al-Ma’idah 5:21).
وَجَعَلْنَا
بَيْنَهُمْ
وَبَيْنَ
الْقُرَى
الَّتِي
بَارَكْنَا
فِيهَا
قُرًى
ظَاهِرَة (سبأ: 18)
Maksudnya: “Dan di antara tempat tinggal mereka (di negeri
Yaman) dengan bandar-bandar di (negeri Syam) yang kami limpahkan berkat
kepadanya (dengan kemakmuran) kami adakan beberapa buah bandar yang jelas
kelihatan (kepada orang yang melalui jalan itu)” (Saba’ 34:18).
Menurut tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Abbas R.A menyatakan maksud
kampung yang diberkati itu adalah merujuk kepada Baitul Maqdis.