Kepentingan
Masjid al-Aqsa kepada Sahabat (r.a.)
Bagi
memahami kepentingan Masjid al-Aqsa dalam Islam, kita perlu membincangkan
kepentingan dan kedudukannya dari kaca mata dan hati para sahabat Rasulullah (S.A.W).
Pemahaman mereka terhadap kepentingan Masjid al-Aqsa selari dengan sunnah Rasulullah
(S.A.W), praktikal, dan mudah difahami. Terdapat banyak riwayat dan bukti yang
menggambarkan kepekaan sahabat-sahabat Rasulullah (S.A.W) terhadap Masjid al-Aqsa:
beberapa orang daripada mereka bertanya Rasulullah (S.A.W) tentang tempat
tersebut; beberapa orang sahabat yang lain telah menziarahi Masjid al-Aqsa apabila
diberi peluang ke sana; segelintir daripada mereka menetap di perkarangan Masjid al-Aqsa
bahkan telah menjaganya. Dalam artikel ini kita akan membincangkan beberapa
contoh kecintaan mereka kepada Masjid al-Aqsa. Tidak dapat dinafikan bahawa subjek ini
merupakan sebuah subjek yang sangat luas dan artikel ini hanya akan mengupas
beberapa contoh.
Abu Dzar meminta
petunjuk dan mengikutinya
Salah
seorang daripada sahabat ulung Rasulullah (S.A.W), Abu Dzar al-Ghifari, pernah bertanya
Baginda (S.A.W): “Ya Rasulullah, masjid manakah yang pertama dibina di atas
muka bumi ini?” Baginda (S.A.W) menjawab “Masjid al-Haram”. Abu Dzar menyambung
“Dan [masjid] seterusnya?” Baginda pula menjawab “Masjid al-Aqsa”. Abu Dzar
terus menyambung pertanyaannya “Berapa lamakah tempoh antara pembinaan
kedua-dua masjid itu?” Baginda menjawab “Empat puluh tahun”.”
Bertahun-tahun
kemudian – setelah mereka berhijrah ke Madinah – topik tersebut dikemukakan
sekali lagi oleh Abu Dzar. Beliau berkata “Kami dahulunya berbincang dengan
Rasulullah (S.A.W), masjid manakah yang lebih baik, Masjid an-Nabawi ataupun
Baitulmaqdis (Masjid al-Aqsa). Baginda menjawab “Solat sekali di masjidku (Masjid an-Nabawi) lebih baik
daripada solat sebanyak empat kali di sana (di Baitulmaqdis), dan betapa
baiknya tempat solat tersebut. Akan tiba suatu masa apabila jika seorang lelaki
memiliki tanah seluas seutas tali kuda yang boleh dilihat Baitulmaqdis daripadanya,
tanah tersebut lebih baik baginya daripada seluruh dunia.”
Abu Dzar juga
menunjukkan ketertarikan beliau kepada Masjid al-Aqsa apabila beliau meriwayatkan
“Rasulullah (S.A.W) datang kepada saya ketika saya sedang tidur di Masjid an-Nabawi.
Baginda membangunkan saya dan berkata “Anda tidak patut tidur dalam masjid
selepas ini”. Saya berkata “Mataku terlalu berat sehingga saya tertidur.”
Kemudian baginda bertanya “Apa yang kamu akan buat jika mereka menyuruh kamu
untuk keluar daripada masjid ini”? Saya menjawab “Saya akan ke Sham,
tanah suci. Baginda terus bertanya “Jikalau mereka menyuruhmu keluar
daripada tempat tersebut"? Saya menjawab “Moga dijauhkan!””
Perbualan-perbualan
ini menjadi bukti kecintaan dan keghairahan Abu Dzar terhadap al-Aqsa, dan betapa
beliau sangat mementingkan Al-Aqsa. Perasaan beliau kemudiannya diterjemahkan
kepada tindakan apabila beliau menyertai pembukaan Kota al-Quds semasa pemerintahan
Khalifah Umar al-Khattab pada tahun 15H/637M.
Khulafa ar-Rasyidin
Catatan sejarah menunjukkan betapa banyak perhatian yang
diberikan oleh Khulafa ar-Rasyidin kepada Masjid al-Aqsa dan al-Quds.
Contohnya, Abu Bakr (r.a) menyegerakan penghantaran tentera bagi membuka bumi
Sham. Keprihatinan beliau kepada Masjid al-Aqsa dibuktikan dalam pesanan beliau kepada
Khaled ibn al-Walid pada tahun 13H/634M, iaitu ketika Khalid di Iraq bagi
menyertai angkatan tentera yang membuka Sham. Beliau mengirimkan pesanan
berikut: “Segerakan saudaramu di bumi Sham. Demi Allah, sebuah kampung di bumi
Al-Quds yang Allah telah buka kepada kita lebih berharga bagiku daripada sebuah
Rostaq (kampung besar) di Iraq.”
Misi pembukaan tersebut kemudiannya diteruskan oleh Khalifah
kedua, Umar ibn al-Khattab, yang berjaya membuka Kota al-Quds. Selepas kemenangan
tersebut, beliau mempersiapkan Masjid al-Aqsa bagi membolehkan orang Islam
menunaikan solat pertama mereka di bahagian hadapan masjid. Kemudian, beliau
dan beberapa sahabat lain, antaranya Saad ibn Abi Waqqas, Abdullah ibn Umar,
Abdullah ibn Abbas, dan Mahmoud ibn al-Rabi’ al-Ansari al-Khazraji, memulakan
ihram mereka daripada Masjid al-Aqsa.
Para sahabat memakai ihram untuk
menunaikan haji atau umrah dari Masjid al-Aqsa.
Ihlal: Melafazkan talbiyah atau memakai ihram,
para jemaah menguatkan suara semasa melafazkan talbiyah.
Para sahabat berlumba-lumba untuk mengenakan ihram dari Masjid al-Aqsa
untuk merebut ganjaran bersolat dan menziarahi Masjid al-Aqsa dan Masjid al-Haram dalam satu perjalanan, dan mendapatkan ganjaran menuruti sunnah
Rasulullah S.A.W yang dijanjikan Baginda (hokum: mustahab).
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Umm
Salamah – isteri Rasulullah S.A.W – berkata, “Aku mendengar Rasulullah S.A.W
bersabda: Jika seseorang mengenakan ihram untuk menunaikan haji atau umrah dari
Masjid Al-Aqsa ke Masjidil Haram, segala dosanya yang lalu dan akan datang
diampunkan”. Oleh yang
demikian, ramai sahabat melakukannya termasuk Ibn Umar r.a, yang berangkat
mengerjakan haji dari Masjid al-Aqsa dan Saad Abi Waqqas – komander tentera
Perang Qadisiyyah – yang berangkat dari sana. Abdullah bin Abi Ammar
mengatakan, “Kami berangkat menunaikan umrah dari Masjid al-Aqsa Bersama-sama
Kaab r.a dan Muaz bin Jabal r.a yang merupakan Ameer kami.” Hal ini
menunjukkan bahawa, ihram dari Masjid al-Aqsa adalah fiqh yang
disepakati semua sahabat. Ia kemudian diteruskan oleh banyak ahli fuqaha
dan tabi’ien termasuk; Wakih ibn Al-Jarrah, yang mengenakan ihram
dari Baitulmaqdis ke Mekah. Kaum wanita turut mengenakan ihram dari Masjid al-Aqsa antaranya Umm Hakim binti Umayyah ibn Al Akhnas yang bermusafir ke
Baitulmaqdis semata-mata untuk mengenakan ihram, selepas mendengar hadith yang
diriwayatkan Umm Salamah.
Sahabat di
perkarangan al-Aqsa
Perkaitan kedua
sahabat agung berikut, Ubadah ibn as-Samit dan Shaddad ibn Aws, dengan Masjid al-Aqsa
begitu masyhur; kubur-kubur mereka di tanah perkuburan Bab al-Rahmah di timur al-Aqsa
menjadi saksi kepada kecintaan mereka kepada Kota al-Quds. Ubadah ibn as-Samit dilantik menjadi
seorang hakim di Palestin dan hidup di Kota al-Quds dengan keluarga beliau. Beliau
sangat kerap ke Masjid al-Aqsa, dimana beliau menjadi seorang ahli ibadah,
cendekiawan, dan guru, sehingga beliau meninggal dunia.
Shaddad ibn Aws juga
menghabiskan kehidupan beliau dengan menetap berdekatan dengan Masjid al-Aqsa
di al-Quds, seperti yang diberitahu oleh Rasulullah (S.A.W). Shaddad pernah
mengadu kepada Rasulullah (S.A.W) bahawa “Bumi menjadi semakin sempit untukku”,
lalu Rasulullah (S.A.W) menjawab “Jangan risau. Sham akan dibuka, dan Al-Quds
and dibuka, dan kamu dan anak-anak lelaki kamu akan menjadi imam-imam di sana,
jika Allah mengizinkan.”
Sesungguhnya, Shaddad menetap di Kota al-Quds dan Masjid al-Aqsa sebagai seorang imam
sehingga beliau meninggal dunia, meninggalkan keturunan yang ramai di sana.
Shaddad bukanlah
satu-satunya sahabat yang dianjurkan oleh Rasulullah (S.A.W) untuk menetap di al-Quds.
Contohnya, seorang sahabat yang bernama Thi al-Asabi yang mendapat inspirasi
daripada kata-kata Rasulullah (S.A.W) dan berhijrah ke al-Aqsa untuk menetap di
sana. Beliau berkata “Saya bertanya Rasulullah (S.A.W), “Ya Rasulullah, jika
kami akan menetap di suatu tempat setelah ketiadaanmu, ke manakah akan kamu
arahkan kami (untuk menetap)?” lalu Rasulullah (S.A.W) menjawab “Menetaplah di
Baitulmaqdis supaya jika kalian dikurniakan anak, mereka akan ke masjid (al-Aqsa).”
Sahabat ulung Abdullah bin Umar r.a, hubungannya
dengan Masjid al-Aqsa amat kuat dan unik. Beliau biasanya datang dari Hijaz
ke Baitulmaqdis untuk menunaikan solat di Masjid al-Aqsa, kemudian pulang
semula ke Hijaz tanpa meminum air dengan harapan dikurniakan ganjaran
yang disebut dalam hadith berikut: “Setelah Sulaiman bin Dawud selesai
mendirikan Baitulmaqdis, baginda memohon tiga perkara dari Allah S.W.T:
Pengadilan yang selari dengan pengadilanNya, sebuah kerajaan yang tidak akan
dimiliki sesiapa selepas baginda, dan tiada seorang pun yang datang ke masjid
ini dengan niat menunaikan solat di sana kecuali orang tersebut akan keluar
dalam keadaan bersih dari dosa seperti hari dia dilahirkan ibunya. ” Rasulullah S.A.W bersabda: “Dua permintaan
dikabulkan, dan aku berharap yang ketiga juga dikabulkan. ” “Para sahabat dan tabi’ein akan bermusafir ke
Masjid al-Aqsa hanya untuk menziarahinya dan bersolat di sana tanpa ada tujuan
selain itu”.
Di samping itu,
terdapat ramai sahabat yang hati mereka dan jiwa mereka terikat kepada Masjid al-Aqsa:
Abu Ubaidah ibn al-Jarrah, Safiyya bint Huyayy, Muaz bin Jabal, Bilal ibn Rabah,
Ayad bin Ghanam, Abdullah bin Umar, Khalid ibn al-Walid, Abu Dzar al-Ghiffari,
Abu al-Darda ‘Uwaymar, Ubadah ibn al-Samit, Salman al-Farisi, Abu Masud al-Ansari,
Tamim al-Dari, Amr ibn al-Aas, Abdullah bin Salam, Saeed bin Zaid, Abu Huraira,
Abdullah ibn Amr ibn al-Aas, Muawiyah ibn Abi Sufyan, Auf bin Malik, dan Abu
Jumaa al-Ansari (radhiallahu anhum).
Sahabiah dan al-Aqsa
Terdapat juga riwayat yang masyhur
tentang keprihatinan sahabiah terhadap Masjid al-Aqsa. Salah satu cerita yang
diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam kitab Musnadnya, adalah kisah Maymunah Bint
Sa'd. Beliau bertanya Rasulullah (S.A.W), “Ya Rasulullah, khabarkan kepada kami
tentang Baitulmaqdis”. Rasulullah (S.A.W) menjawab, “Tanah tersebut adalah
tempat di mana manusia akan dibangkitkan (Al-Hashr) dan dikumpul (Al-Mahshar).
Kunjunginya untuk solat kerana satu solat di sana bersamaan dengan seribu kali
solat di tempat lain.” Beliau kemudian bertanya, “Jika salah seorang daripada
kami tidak mampu menziarahinya, apakah yang patut dilakukan?” Baginda menjawab
“Jika kalian tidak mampu mengunjunginya untuk solat maka hantarkan minyak yang
akan digunakan untuk menyalakan pelita-pelita di sana. [Perbuatan ini]
akan menjadikan beliau seakan-akan solat di sana”.
Kita dapat
melihat bahawa ramai sahabat memberikan tumpuan istimewa kepada Masjid al-Aqsa;
mereka bertanya tentangnya dan sebahagian dari mereka berhijrah untuk menetap
di sana. Tindakan-tindakan ini mencerminkan penghayatan mereka yang mendalam
terhadap kesucian tempat ini. Orang Islam boleh mendapat ganjaran dengan
menziarahi al-Aqsa. Menetap berdekatan dengan al-Aqsa, bekerja untuk
pembebasannya, belajar mengenai fiqh dan ilmu yang berkaitan dengannya, dan
menghidupkannya dengan solat dan doa merupakan antara perkara yang boleh
dilakukan pada hari ini untuk membebaskan Masjid al-Aqsa dan mengembalikannya
ke bawah penguasaan orang Islam. Hal ini supaya al-Aqsa akan mendapat kembali
kemerdekaannya, kepentingannya, dan posisinya dalam kalangan umat Islam.