Dr. Sharif Abu Shammala
CEO@ Al-Quds Foundation Malaysia
Al-Israk wa al-Mikraj merupakan
peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW. serta sejarah penyebaran
Islam. Perjalanan ini berlaku pada 27hb Rejab setahun sebelum penghijrahan
Rasulullah SAW ke Madinah. Kejadian ini merupakan antara mukjizat agung
Allah SWT kepada Rasulullah SAW.
Israk merujuk kepada perjalanan
Nabi Muhammad SAW dari Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di
al-Quds. Sepanjang pejalanan ini, Rasulullah SAW menunggang Buraq, iaitu sejenis haiwan yang mampu menyingkatkan waktu perjalanan antara kedua-dua masjid, dan
diiringi oleh Malaikat Jibril. Manakala Mikraj pula merujuk kepada perjalanan
selepas Israk, yakni tatkala Nabi diangkat ke langit bersama Malaikat Jibril
sehingga ke ‘Sidratul Muntaha’.
Perjalanan ini merupakan salah
satu daripada keajaiban yang wajib diimani oleh umat Islam berdasarkan
bukti-bukti daripada al-Quran dan as-Sunnah.
Perjalanan Israk dan Mikraj didahului oleh waktu kedukaan yang
teramat sangat yang dialami oleh Rasulullah SAW Ketika itu, bapa saudara merangkap penjaga baginda, Abu Talib, telah meninggal dunia. Tidak lama kemudian, wafat
pula Khadijah binti Khuwailid, iaitu isteri Nabi dan insan yang paling dikasihi
baginda. Sepeninggalan Abu Talib, golongan Quraisy lantas meningkatkan serangan
mereka terhadap Rasulullah kerana bapa saudaranyalah yang telah memberi baginda
perlindungan. Natijah daripada hal ini, Rasulullah SAW berusaha untuk
mencari perlindungan di Taif, namun penduduk Taif menyambut baginda dengan
lontaran batu-batu. Ini hanya menambahkan lagi duka baginda sehingga tahun
tersebut digelar sebagai “Tahun Kesedihan”. Maka, Allah SWT dengan
kekuasaan-Nya memberi penawar kepada derita Rasulullah dengan peristiwa
ajaib dan agung, iaitu Israk dan Mikraj, dan daripadanya azam dan kekuatan baginda untuk teguh
mengharungi kesukaran dalam menyebarkan risalah Islam kembali meningkat.
Secara ringkasnya, sewaktu Rasulullah sedang lena di Hijr Ismail di
Masjid al-Haram, Jibril telah mendatanginya dan mengejutkan baginda untuk
membawanya ke Masjid al-Aqsa dengan menaiki Buraq, yang disifatkan oleh baginda
sebagai “haiwan yang panjang dan putih, besar sedikit daripada keldai, tetapi
kecil sedikit daripada keldai kacukan kuda, (dan) setiap langkahnya sejauh mata
memandang. Aku menaikinya sehingga sampai ke al-Quds, Baitulmaqdis. Di sana,
aku mengikatnya pada (tiang) yang sama digunakan oleh rasul-rasul (sebelumku).”
Di Masjid al-Aqsa, Rasulullah telah berjumpa dengan para rasul sebelumnya
yang lain dan mengimami mereka dalam solat. Kemudian, Jibril membawanya sebekas
arak dan sebekas susu, dan baginda memilih yang kedua. Jibril lantas berkata,
“Engkau telah memilih fitrah, dan membimbing umatmu dan mengharamkan arak.”
Oleh yang demikian, dapat kita ketahui bahawa Masjid al-Aqsa telah
menyaksikan salah satu peristiwa yang terpenting dalam sejarah risalah Islam,
iaitu perintah kefarduan solat di samping berkumpulnya para rasul pada malam
tersebut sebagai makmum Rasulullah SAW yang melambangkan bai’ah (sumpah)
kepada Rasulullah SAW Selanjutnya, berlakunya Mikraj dari Masjid al-Aqsa ke langit
ketujuh, di mana Rasulullah menerima firman yang memfardukan solat bagi
orang-orang Islam. Perjalanan penuh Nabi SAW ketika peristiwa Mikraj juga
penuh dengan keajaiban-keajaiban lain yang diperincikan dalam pelbagai hadis.
Perjalanan itu secara keseluruhan telah mengambil masa kurang daripada
satu malam. Rasulullah telah pulang ke kamar pada malam yang sama dan pada
paginya, baginda memberitakan kepada orang ramai tentang perkara yang telah
berlaku. Walau bagaimanapun, khabar baginda ini telah membahagikan orang ramai
kepada dua: mereka yang membenarkannya kalamnya dan mereka yang menolaknya.
Dr. Mustafa Siba’ie telah berkata bahawa wujud rahsia yang
pelbagai dalam perjalanan Israk dan Mikraj, dan sebahagian daripadanya berkait rapat
dengan Masjid al-Aqsa. Beliau telah berkata, “Ia mengaitkan isu al-Aqsa dan apa
yang berada di sekitarnya [Palestin] dengan dunia Islam. Palestin telah
menjadi, selepas kedatangan Nabi Muhammad SAW, sebagai pusat dunia Islam dan
kesatuan orang Islam sejagat. Oleh itu, usaha mempertahankan Palestin itu sama
dengan membela Islam itu sendiri. Ia adalah tanggungjawab semua orang Islam di
dunia, dan melepaskan tanggungjawab ini sama seperti melepaskan sebahagian
daripada Islam; suatu dosa yang dijanjikan azab Allah sekiranya mereka tidak
bersungguh-sungguh membebaskan dan mempertahankan Palestin, lebih-lebih lagi
sekiranya mereka mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.
Penekanan kepada hubung kait antara Masjid al-Haram dengan Masjid
al-Aqsa
Perjalanan Israk dan Mikraj mengenengahkan kaitan Masjid al-Haram
dengan Masjid al-Aqsa. Akan tetapi, hubungan antara kedua-dua masjid ini
hakikatnya telah terbentuk semenjak zaman Adam AS dan keluarganya. Hal ini
jelas ditunjukkan dalam hadis daripada Abu Zar al-Ghifari, tatkala beliau
bertanya kepada Nabi SAW: “Ya Rasulullah, masjid manakah yang terawal dibina
di atas muka bumi ini?” Jawab Rasullullah SAW, “Masjid al-Haram”. Seterusnya
Abu Zar bertanya lagi, “Kemudian apa?” Jawab Rasulullah SAW, “Masjid al-Aqsa”.
Abu Zar kemudian bertanya lagi, “Berapakah tempoh antara pembinaan kedua-dua
masjid itu?” Jawab Rasulullah SAW, “40 tahun””. [Sahih al-Bukhari].
Hubung kait ini sekali lagi
dicerminkan di dalam kitab suci al-Quran, apabila Allah SWT berfirman, {Maha
Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW) pada malam
hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya,
untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.
Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui}[al-Isra’:1]
}سُبْحٰنَ
الَّذِيْ أَسْرٰى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ الْـمَسْجِدِ الحَرَامِ إِلى الْـمَسْجِدِ
الأقصى الذي بَارَكْنَا حَوْلَهُ{ (الإسراء:1).
Kaitan antara kedua-dua masjid
ini tidak terhenti pada perjalanan Israk dan Mikraj sahaja, bahkan ia
dimanifestasikan dalam bentuk ibadah yang terutama di dalam Islam – Solat –
sewaktu Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW untuk menjadikan Masjid
al-Aqsa sebagai arah qiblat yang pertama dalam peristiwa Hijrah. Hal ini
berterusan selama 16 bulan, sehingga tiba perintah kedua untuk menukar arah
kiblat menghala ke Masjid al-Haram yang termaktub di dalam ayat suci al-Quran {Kerap
kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang mengadah ke langit,
maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh
itu, palingkanlah wajahmu ke arah Masjid al-Haram; dan dimana saja kamu berada
maka hadapkanlah wajahmu ke arahnya…} [al-Baqarah:144]
}قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ
مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّـهُ بِغَافِلٍ عَمَّا
يَعْمَلُونَ{ (البقرة:144).
Para ulama’ telah berpendapat bahawa hubungan antara
kedua-dua masjid tersebut sepatutnya meyakinkan umat Islam bahawa pembebasan
Masjid al-Aqsa itu tanggungjawab bersama. Para ulama’ juga menegaskan bahawa
perkaitan ini perlu menjadikan umat Islam sejagat sedar bahawa ancaman terhadap
kesucian Masjid al-Aqsa itu juga ancaman terhadap kesucian Masjid al-Haram itu
sendiri, dan penaklukan Masjid al-Aqsa itu sama seperti penaklukan Masjid
al-Haram itu sendiri. Masjid al-Aqsa itu pintu gerbang kepada Masjid al-Haram;
sekiranya al-Aqsa tewas ditakluk tangan-tangan Yahudi, maka kesucian Masjid
al-Haram dan wilayah Hijaz keseluruhannya akan turut terancam.
Keutamaan Mikraj kepada Masjid
al-Aqsa
Mikraj Nabi Muhammad SAW ke
langit dari bumi al-Aqsa dan penurunannya merupakan dalil bahawa Masjid al-Aqsa
itu pintu di antara langit dan bumi, dan ia mencerminkan keutamaan Masjid
al-Aqsa keatas sekalian umat Islam. Sebelum ini, tentera Salib telah menakluk
Masjid al-Aqsa susulan kegelojohan mereka. Mereka yakin bahawa Masjid al-Aqsa
itu, atas kunci tujuannya adalah sebagai pemelihara kesucian Masjid al-Haram, iaitu merupakan
gerbang umat Islam yang membela identiti Muslimin dan mempertahankan negara
Islam.