Khowis: “Ribat”
demi memelihara Masjid al-Aqsa
Khadija
Ahmed Khowis, salah seorang “murabitat” yang terkenal di Masjid al-Aqsa. Beliau
tekad untuk menyerahkan hidupnya untuk masjid tersebut. Bagi beliau, tiada yang
lebih utama dari Masjid Al-Aqsa, bukan dirinya sendiri mahupun keluarganya.
Beliau
menganggap “Ribat” sebagai tugas yang mulia, beliau percaya bahawa berkorban
jiwa untuk Masjid Al-Aqsa adalah suatu kemuliaan yang tinggi di dunia dan akhirat, dan
mempertahankan Masjid Al-Aqsa seharusnya menjadi sebuah doktrin. Apabila beliau berada
di halaman masjid, masanya dihabiskan dengan mengajar dan mempertahankan masjid
daripada pencerobohan tentera Israel. Ketika beliau dihalau dari masjid secara
paksa, beliau berdiri di pagar masjid untuk menentang tentera sambil melaungkan
“Allahu Akbar” bersama-sama dengan murabitah-murabitah lain. Sebuah laungan
yang lebih hebat dari tembakan peluru dan bom.

Perjalanan
hidup bersama Al-Quran di al-Aqsa …
Khadija Khowis, dilahirkan pada 27/8/1977, berkahwin dengan Dr. Ibrahim Abu Ghalia. Beliau
dikurniakan lima orang anak dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian
Islam daripada Universiti Al-Quds, dan bakal menerima Ijazah Sarjana dalam
bidang Tafsir daripada Universiti Hebron. Beliau mempunyai kelulusan ijazah
Al-Quran bersanad. Beliau juga seorang guru Pengajian Islam di Sekolah al-Nizamiya
di al-Quds. Di perkarangan Masjid al-Aqsa, beliau mengajar al-Quran dan Tafsir.
Perjalanan
hidup beliau bersama Masjid al-Aqsa bermula sejak kecil, di mana beliau
mendapat pendidikan di sekolah-sekolah di Masjid al-Aqsa, dan kemudian menyambung
pendidikan beliau di Maktab Shariah al-Aqsa, di dalam masjid tersebut. Pada
tahun 2014, beliau menjadi guru al-Quran dan Tafsir di sana.
Dihalau
dari Masjid al-Aqsa …
Peranan
besar yang dimainkan oleh Khadija di Masjid al-Aqsa dan komuniti al-Maqdisi (penduduk
Al-Quds) telah menarik perhatian pihak berkuasa pendudukan Israel. Sejak tahun
itu, bermulalah siri pemulauan dan pengusiran di sana. Khadija telah dihalau
dari Masjid al-Aqsa lebih daripada 10 kali, dengan jumlah hampir 500 hari dalam masa
dua tahun. Di samping larangan rasmi terhadapnya, nama beliau juga termasuk dalam
senarai “Senarai Emas”, senarai nama yang dilarang untuk memasuki Masjid al-Aqsa
pada setiap masa.
“Saya
pernah dihalau dari Kota Lama (juga dikenali sebagai al-Quds Timur) selama
lapan bulan, diusir dari al-Quds Barat selama dua bulan, dan dari Tebing Barat
selama enam bulan. Saya dihalang keluar dari kawasan ini lebih dari enam kali
setahun dan tidak boleh melebihi tiga bulan. Saya pernah ditahan sebanyak 10 kali dan
saya pernah tidur di dalam penjara sebanyak empat kali. Setiap kali ditangkap, saya
ditahan selama satu malam kecuali kali terakhir, saya dipenjara selama dua
minggu di sebalik tirai besi,” Khadija meluahkan.
“Cabaran
terbesar yang saya rasakan pernah dialami adalah tekanan dan paksaan ketika
disoal siasat, terutama ketika tahanan baru-baru ini. Saya diaibkan, diperiksa
tanpa pakaian, dan ahli keluarga saya ditahan termasuk ibu, ayah, anak
perempuan, dan suami saya. Namun, pengusiran dari Masjid al-Aqsa adalah paling sukar
buat saya. Ia cabaran yang paling sukar dihadapi oleh seorang pencinta Al-Aqsa,”
kata Khadija.
Walau
bagaimanapun, polisi Israel ini tidak pernah memaksa Khadija atau menghalang beliau dari meneruskan perjuangannya. Beliau menganggap bahawa
berkorban untuk Masjid al-Aqsa amat tinggi nilainya samada secara spiritual,
anak-anak, dan harta. Khadija menambah, beliau tetap menunaikan
tanggungjawabnya terhadap suami, anak-anak dan pelajar beliau tanpa sedikitpun
meninggalkan tanggungjawab terhadap Masjid al-Aqsa samada dari segi pendidikan dan
tunjuk ajar, mahupun memaksa keluar musuh-musuh dari halaman Masjid al-Aqsa. Beliau
juga menekankan, pengusiran beliau dari Masjid al-Aqsa mampu meningkatkan kesedaran
dan mengumpulkan lebih ramai orang untuk bersamanya mempertahankan Masjid al-Aqsa.
Al-Aqsa adalah
keutamaan setiap Muslim…
Khowis
telah menyampaikan mesej beliau kepada umat Islam yang berbunyi,
“Masjid al-Aqsa bukan sebuah masjid untuk penduduk Al-Quds dan Palestin sahaja, tetapi
adalah masjid untuk seluruh umat Islam. Masjid tersebut adalah kiblat pertama,
dan tempat berlakunya Isra’ Rasulullah S.A.W. Masjid al-Aqsa adalah tempat suci ketiga
di dunia selepas Makkah dan Madinah. Masjid al-Aqsa adalah tumpuan penentangan dan
kesucian penduduknya.
Oleh
itu, tugas mempertahankan kebebasan Masjid al-Aqsa merupakan tugas setiap di antara
kita, bukan saja dengan “ribat” di dalamnya, tetapi juga “ribat” untuknya; dengan
meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat dunia tentang sejarah dan
geografi tempat ini, juga kondisi dan berita-berita mengenai Masjid al-Aqsa. Kerana mana
mungkin kita mampu membebaskan Masjid al-Aqsa tanpa mengetahui sejarahnya! Karakter
dan geografinya! Rahmat Allah di dalamnya! Dan situasi kritikal yang sedang
dihadapinya!
Kita
memerlukan sebuah revolusi moral yang menyeluruh. Kita perlu berpegang dengan
akhlak al-Quran untuk menjadi Rabbaniyun, Quraniyun dan pejuang Al-Aqsa. Kita
perlu ikhlas dalam setiap kata-kata dan usaha kita untuk Al-Aqsa, dan mengubah
niat di dalam hati kita, supaya Allah akan mengubah dan memperbaiki situasi
kami di sini. Kita perlu menjadikan Masjid al-Aqsa sebagai prioriti di setiap rumah,
sekolah, kejiranan, perjumpaan, dan persatuan. Apa pun, sebelum itu, kita perlu
jadikan Masjid al-Aqsa sebagai prioriti di dalam hati kita terlebih dahulu.”
Beliau menambah, “setiap Muslim wajib menyumbang
terhadap aktiviti-aktiviti dan inisiatif yang menyokong dan mempertahankan Masjid al-Aqsa, kita mesti memberi sokongan material dan moral kepada Kota al-Quds dan Masjid al-Aqsa. Sokongan ini sangat penting untuk memperhebat usaha rakyat Palestin.”