“Penahanan dan pengusiran tidak akan menjejaskan
kecintaan saya kepada Masjid al-Aqsa”
Beliau ialah wanita pertama yang diusir oleh rejim Zionis
daripada Masjid al-Aqsa dan Kota al-Quds selama enam bulan. Di samping itu, nama
beliau turut tersenarai di kedudukan pertama sebagai orang yang dihalang
daripada memasuki Masjid al-Aqsa. Walaupun begitu, beliau tetap membulatkan tekadnya
bahawa, jika rejim Zionis telah memutuskan untuk menghalaunya keluar daripada
kiblat pertama umat Islam tersebut, beliau akan melaksanakan “ribat”
di salah satu pintu masuk ke Masjid al-Aqsa. Ini akan membolehkan beliau mencabar
pihak musuhnya dengan cara meneruskan perjuangan mempertahankan maruah ummah.
Latar belakang
Berusia 37 tahun, Hanadi Hilwani dilahirkan di Kota al-Quds and
menetap di Wadi al-Joz, satu kejiranan di timur al-Quds. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kerja Sosial daripada Al-Quds Open University.
Beliau juga dianugerahkan Ijazah Sarjana dalam Pengajian al-Quran daripada Jordanian
Awqaf dan juga Persatuan Pemuliharaan al-Quran di Jordan.
Al-Aqsa adalah keutamaan
Hanadi merupakan seorang
isteri dan juga ibu kepada empat orang anak. Walaupun beliau sangat
mencintai dan mengasihi keluarganya, beliau tetap merasakan bahawa Masjid al-Aqsa
adalah cinta pertamanya. Bahkan, ia telah menjadi keutamaan tertinggi dalam
hidupnya. Beliau merasakan bahawa ia adalah sangat berbaloi untuk mengorbankan
diri dan keluarganya untuk Masjid al-Aqsa.
Perjalanan kehidupan Hanadi bersama Masjid al-Aqsa bermula sejak di usia mudanya lagi. Perjalanan
ini juga menjadikan Masjid al-Aqsa sangat dekat dan utuh di hatinya. Sebagai ahli
Persatuan al-Quran, beliau telah mengajar Kitabullah di Masjid al-Aqsa sejak
tahun 2008 lagi. Hasil daripada usahanya itu, pada tahun 2010, berpuluh pelajar
telah menerima Ijazah bersanad daripada beliau dalam bidang pengajian al-Quran.
Penahanan dan ancaman
Semasa menceritakan berkenaan
pengalamannya ditahan, Hanadi berkata “Saya telah ditangkap lebih daripada 16
kali. Saya dipenjarakan sebanyak tiga kali: kali pertama adalah di sebuah penjara
di Al-Moscobiye selama satu hari dan satu malam; kedua ialah di Penjara Ramleh
selama 6 hari; ketiga juga ialah di Penjara Ramleh selama 7 hari. Sewaktu
berada di dalam tahanan, saya telah disoalsiasat selama berpuluh jam. Ada
kalanya, kaki dan tangan saya diikat menggunakan rantai besi. Tidak cukup
dengan itu, saya juga dipindahkan daripada satu penjara ke penjara yang lain.
Saya telah diancam sejak kali
pertama saya ditahan lagi. Mereka mengugut untuk mengusir saya ke Gaza atau ke
Turki. Mereka
juga mengugut untuk memansuhkan insurans kesihatan dan perlindungan hayat saya
disamping membatalkan kad pengenalan saya.
Semasa saya ditahan, mereka telah menghina saya dengan
pelbagai kata-kata kesat. Saya juga telah beberapa kali dipaksa membuka tudung.
Apabila saya enggan, saya dikurung berseorangan. Kejadian ini terjadi sewaktu
kedua-dua penahanan saya di Penjara Ramleh. Pada waktu itu, saya diletakkan di dalam
satu sel tahanan yang berbau sangat busuk dan tidak sesuai untuk didiami oleh
manusia sama sekali. Sewaktu saya ditahan, rumah saya dipecah masuk, harta
benda saya dimusnahkan, dan rejim Zionis merampas banyak alatan dan dokumen
milik saya”.
Diusir berulangkali
Tidak terkira banyaknya keputusan pengusiran daripada Masjid al-Aqsa
yang dijatuhkan ke atas Hanadi oleh rejim Zionis. Kali pertama beliau diusir
ialah selama dua bulan; kali kedua selama 2 minggu; kali ketiga pula selama 3
minggu; setelah itu beliau menerima empat pengusiran di dalam tempoh sebulan ke
tiga bulan. Pengusiran paling lama yang dijatuhkan ialah selama enam bulan pada
dua tahun lepas. Itulah kali pertama hukuman
sedemikan dijatuhkan ke atas wanita dari Kota al-Quds. Pengusiran
itu pula diikuti oleh pengusiran daripada Kota al-Quds dalam tempoh yang sama.
Pada tahun 2015, namanya berada di kedudukan teratas dalam
senarai orang yang dihalang memasuki Masjid al-Aqsa selama-lamanya. Rejim Zionis memanggil
senarai ini sebagai “Senarai Hitam” manakala orang-orang Palestin memanggilnya
sebagai “Senarai Emas” kerana senarai itu mengandungi nama-nama pejuang
yang paling berani dalam mempertahankan Masjid al-Aqsa.
Walaupun begitu, Hilwani tetap tidak akur pada keputusan
tersebut. Dia tetap berdiri di pinti-pintu Masjid al-Aqsa dan berdiam di kawasan yang
paling hampir dengan Masjid al-Aqsa yang boleh dimasukinya. Beliau juga menghasilkan
dan mengedarkan risalah-risalah dalam Bahasa Inggeris. Di samping itu, beliau
menjahit pakaian khas untuk para murabitah
yang diusir, dan antara pakaian yang paling terkenal ialah “Selendang Senarai
Emas”.
Ribat dan
Kerinduan
Murabitah yang berasal dari Kota Al-Quds ini berkata, “Aku memilih Bab
Asselsela
sebagai “kubu” bagi murabitah yang diusir untuk berhadapan dengan pihak
musuh. Aku sengaja memilihnya kerana melalui pintu itulah para penduduk haram
Israel dan pelancong keluar selepas memecah masuk ke dalam Masjid al-Aqsa.
Dengan berdiri di Bab Asselsela, aku menyampaikan mesej kepada rejim Zionis
bahawa kami tetap akan mempertahankan bumi kami dan Masjid al-Aqsa. Kami tidak akan pernah sekali-kali menyerahkan hak kami
tersebut”.
Murabitah Hanadi tidak pernah
menyembunyikan kesayuan hatinya melihat Masjid al-Aqsa dari jauh tanpa dapat
mendirikan solat di dalam perkarangan masjid tersebut. Walaupun beliau terpaksa
memendam keperitan akibat kerinduannya untuk mendirikan solat dan mengajar al-Quran di
dalam Masjid al-Aqsa, beliau tetap percaya bahawa kezaliman tidak akan sekali-kali
berkekalan. Beliau juga meyakini kepentingan mengekang keputusan kejam rejim
Zionis dengan kekuatan haq dan keimanan.