Al-Murabita
Sahar al-Natsheh
Al-Murabita
Sahar al-Natsheh telah berulang kali ditangkap oleh rejim Zionis atas tuduhan
“ribat”
di Masjid al-Aqsa dan menghasut orang ramai untuk bersamanya. Kehadiran beliau secara
terus-menerus di Masjid al-Aqsa telah menimbulkan kebencian pihak Israel
terhadapnya. Apatah lagi, beliau sering bersengketa dengan askar dan penduduk negara
haram Israel yang fanatik apabila mereka melakukan serangan-serangan ke atas masjid
tersebut. Setelah sekian lama menyimpan dendam, akhirnya rejim Zionis mendapat
peluang untuk menangkap dan menghukum beliau atas tuduhan jenayah melaungkan
“Allahuakbar”. Menurut rejim zionis, laungan takbir beliau itu telah menghalang
ahli-ahli Knesset dari Jewish Home Party, Shomalit Maalam dari
menghadiri masjid itu.
Guru
al-Quran…
Berasal dari Baitulmaqdis, Sahar al-Natsheh, isteri
dan suri rumah yang berusia 48 tahun itu juga adalah seorang ibu kepada enam
orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Beliau telah mempelajari bacaan
al-Quran dengan penuh teliti di Masjid al-Aqsa dan merupakan pelajar kedua
terbaik di sana. Selepas menamatkan pengajian itu, beliau juga turut
mempelajari ilmu Hadis dan Sunnah Nabi s.a.w.
Beliau pernah menetap setiap hari di Masjid al-Aqsa
di mana beliau membantu warga emas untuk menghafal al-Quran. Beliau juga
meraikan sekumpulan wanita yang selalu berada di perkarangan Masjid al-Aqsa
dengan menghidangkan mereka minuman panas agar mereka sentiasa bersemangat
untuk menetap di masjid itu dan mempertahankannya.
Ditahan
berulang kali
Sahar pernah ditahan sebanyak tiga kali dan setiap
kali itu juga beliau telah diperlakukan dengan kejam. Beliau telah didakwa atas
tiga kesalahan berasingan. Yang pertama, hasutan melalui tulisan-tulisan
di Facebook yang mendedahkan
kekejaman rejim Zionis. Kesalahan kedua pula ialah menghalang ahli Knesset
melakukan ritual Talmud di Masjid al-Aqsa, menyerangnya, dan seterusnya
menghalaunya dari Masjid tersebut. Kesalahan ketiga beliau ialah mempunyai
hubungan dengan “al-Murabitat”, sebuah organisasi yang telah diharamkan rejim
Zionis.
Menurut
Sahar, misi utama rejim Zionis ialah untuk mengosongkan Masjid al-Aqsa daripada
orang Islam supaya mereka boleh menguasainya seperti yang berjaya
dilakukan ke atas Masjid al-Ibrahimi. Beliau menambah “pelbagai tuduhan telah
dijatuhkan ke atas ahli-ahli yang paling aktif di Masjid al-Aqsa. Saya sendiri telah
ditangkap dan dipenjarakan selama 11 hari. Selepas itu, saya diletakkan pula di
bawah tahanan rumah selama 8 bulan dan dipaksa membayar wang jaminan sebanyak
5000 shekels. Kini saya masih menunggu satu lagi hukuman. Di samping itu, saya
turut dihalau dari Masjid al-Aqsa kerana saya sangat aktif mendedahkan jenayah dan
kekejaman terancang yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap Masjid al-Aqsa
dan para Murabitin di sana.”
Kekosongan hidup tanpanya…
Nama Sahar akhirnya telah dimasukkan ke dalam
senarai nama sekumpulan Murabitin dan Murabitat yang diharamkan memasuki Masjid al-Aqsa (senarai nama ini dianggap oleh penduduk Palestin sebagai “senarai emas”)
oleh rejim Israel. Beliau berkata bahawa
beliau tidak jemu untuk mengunjungi Masjid al-Aqsa demi menunaikan solat di sana
namun setiap kali itu jugalah beliau akan disekat dan dihalang daripada memasuki
perkarangan masjid. Perkara ini membuatkan beliau berasa tertekan dan
teraniaya; lebih-lebih lagi kerana tiada siapa yang tahu tentang apa yang
sedang terjadi ke atas penduduk Baitulmaqdis dan betapa mereka tersiksa dengan
pengusiran dan kekejaman rejim Zionis.
Sahar yakin bahawa peranan beliau di dalam
keluarganya tidak akan menghalang komitmen dan tanggungjawabnya terhadap Masjid
al-Aqsa. Malah, beliau percaya yang Masjid al-Aqsa itu lebih penting daripada
kehidupannya serta keluarganya; beliau juga merasakan yang hidupnya tidak lagi
akan bermakna jika sesuatu terjadi ke atas Masjid tersebut kerana “Masjid al-Aqsa
adalah sumber barakah ke atas ruh dan keluarga[nya]”. Oleh itu, beliau
menggalakkan keluarganya untuk bersembahyang di Masjid al-Aqsa dan mempertahankannya
kerana beliau percaya kepada kepentingan ‘ribat’ walaupun ia tidak menggunakan
sebarang keganasan atau senjata.
Kezaliman
mereka akan terhapus…
Seorang hakim Israel telah menjatuhkan hukuman kepada
Sahar termasuklah memaksanya bekerja dengan orang Yahudi tanpa gaji. Sahar
berkata, “Ini adalah polisi yang tidak adil dan, dengan izin Allah, sebuah
negara yang dibina atas kezaliman pasti akan hilang.”
Beliau
juga berkata yang beliau akan sentiasa bersabar dan tidak akan berhenti berdoa
supaya Allah memelihara Masjid al-Aqsa daripada cengkaman rejim Zionis dan perancangan
jahat mereka.
Sahar
menganggap bahawa ia menjadi tanggungjawab seluruh negara Arab dan umat Islam
untuk berdiri di belakang para Murabitat,
memberi bantuan dari segi doa, menyokong mereka melalui media, menghadapi rejim
Zionis bersama dengan penduduk Baitulmaqdis, menghalang rancangan rejim Zionis
untuk memecahbelahkan Masjid al-Aqsa, dan mendedahkan kejahatan kerajaan Israel
serta kumpulan ekstrimis terhadap penduduk Palestin dan tempat-tempat suci
mereka. Beliau menegaskan bahawa ia adalah satu kewajipan terhadap setiap
Muslim untuk bertungkus-lumus berusaha demi pembebasan Baitulmaqdis serta
Masjid al-Aqsa dan menyelamatkannya dari dirampas oleh rejim Zionis.